Blog ini berdasarkan kuliah maghrib, ceramah, kuliah subuh dan khutbah jumaat yang saya sampaikan di masjid-masjid dan surau-surau di sekitar bandaraya Kuching, di samping sedikit kemusykilan agama dan kehidupan harian.

Mudah-mudahan sedikit sumbangan ilmu yang tidak seberapa ini dapat membantu perjalanan dakwah islam tercinta.

Saturday, February 21, 2009

Pendidikan Iman (akhir)

Sambungan pendidikan iman

Antara panduan dalam mendidik anak-anak tentang pendidikan iman.

1) Memberi panduan kepada anak-anak tentang cara beriman dengan Allah, kekuasaanNya dan kehebatan Allah mencipta.

Ini boleh dilakukan dengan cara memerhati dan berfikir tentang kejadian langit dan bumi ketika usia mereka masih kecil. Sebaik-baiknya ini dilakukan secara berperingkat, bermula dari perkara yang mahsus(boleh disentuh dengan pancaindera) kepada perkara yang ma’qul (boleh difikir oleh akal), dari perkara juzuk(sebahagian) kepada perkara kulli (seluruh), dari perkara mudah kepada perkara yang susah, sehingga anak-anak sampai ke tahap yang matang dan iman mereka menjadi mantap yang tidak mungkin lagi dapat dihapuskan keyakinan mereka kepada Allah oleh sesiapa pun.

Dan cara ini ialah cara yang digunakan oleh al-Quran dalam memberi kefahaman kepada manusia.

Antara contohnya;

Firman Allah s.w.t :an-Nahl :10-17
10. Dia lah Yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya.

11. ia juga menumbuhkan bagi kamu Dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari Segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya Yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum Yang mahu berfikir.

12. dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan Dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum Yang mahu memahaminya.

13. dan apa-apa jua Yang dijadikan untuk kamu di bumi Yang berlainan jenisnya (dimudahkan juga untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi kaum Yang mahu mengingati nikmat Allah itu.

14. dan Dia lah Yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging Yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) Engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.

15. dan ia mengadakan di bumi gunung-ganang Yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat Yang kamu tuju.

16. dan (ia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan Dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah Yang hendak dituju.

17. kalau sudah demikian, Adakah Allah Yang menciptakan semuanya itu sama seperti makhluk-makhluk Yang tidak menciptakan sesuatu? maka Patutkah kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?

Firman Allah s.w.t :at-Thaariq :5-10
5. (setelah mengetahui Yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan.

6. ia diciptakan dari air (mani) Yang memancut (ke Dalam rahim) -

7. Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.

8. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati),

9. pada hari didedahkan Segala Yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat, dan lain-lainnya),

10. maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada Penolong (yang dapat memberikan pertolongan).

Dan banyak lagi ayat-ayat yang boleh dipetik daripada al-Quran yang berkaitan.


2) Menanamkan ke dalam jiwa anak-anak khusu’ ,takwa dan ubudiah kepada Allah.

Ini boleh dilakukan dengan cara membuka mata mereka dengan melihat kekuasaan Allah pada setiap perkara, kecil atau besar, benda hidup atau mati, pada tumbuhan yang tumbuh dan melata, pada bunga-bunga yang pelbagai warna dan corak dan banyak lagi pada keajaiban ciptaan Allah s.w.t. Dengan cara ini boleh menyebabkan hati mereka tunduk dan khusyu’ kepada Allah s.w.t dan mengundang rasa takut dan rasa diri sentiasa dilihat oleh Allah s.w.t.

Antara cara memperkukuh khusyu’, memperkasa takwa pada diri anak-anak ialah membiasakan mereka sewaktu kecil supaya khusyu’ dalam solat semampu mungkin dan mengadabkan mereka supaya sedih dan menangis atau pura-pura menangis apabila membaca al-Quran atau mendengar bacaan al-Quran, ini merupakan sifat orang-orang yang soleh dan cirri-ciri mukmin yang sejati.

Lihatlah bagaimana al-Quran memuliakan orang-orang yang khusyu’ dan memuji mereka;

Firman Allah s.w.t :al-Mukminuun :1-2

1. Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman,

2. Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya;

Firman Allah s.w.t :al-Hajj :34-35

34. dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan Ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak Yang disembelih itu. kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadanya; dan sampaikanlah berita gembira (Wahai Muhammad) kepada orang-orang Yang tunduk taat -

35. Iaitu orang-orang Yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang Yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan Yang menimpa mereka, dan orang-orang Yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang Yang mendermakan sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepadaNya.

Firman Allah s.w.t :Maryam :58

58. mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi Yang telah dikurniakan Allah nikmat Yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang Yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang Yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

Firman Allah s.w.t :al-Hadiid :16
16. belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang Yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) Yang diturunkan (kepada mereka)? dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang Yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa Yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang Yang fasik - derhaka.

Khusyu’, patuh, bersedih dan menangis apabila membaca al-Quran adalah sifat nabi s.a.w, para sahabat dan juga orang-orang soleh. Ibnu mas’ud menceritakan suatu ketika nabi s.a.w mengarahkannya membaca al-Quran dan nabi mendengarnya sehingga sampai kepada surah an-Nisa’ ayat 41, nabi s.a.w mengarahkannya berhenti dan Ibnu Mas’ud melihat nabi menangis.

Untuk melatih anak-anak khusyu’ dan menangis adalah sukar, tetapi dengan kesungguhan dan didikan yang berterusan insyaAllah kita dapat melakukannya.


3) Mendidik anak-anak sifat Muraqabah(Allah sentiasa memerhati) dalam setiap perbuatan, perkataan dan keadaan.

Ini dilakukan dengan cara membiasakan mereka supaya merasakan bahawa Allah s.w.t sentiasa memerhati mereka, mengetahui apa yang nyata dan tersembunyi dan ini merupakan perkara yang sangat penting dalam mendidik anak-anak. Ini boleh berlaku dalam tiga keadaan;

1) dalam pekerjaan

2) cara berfikir

3) dalam perasaan

1) Dalam pekerjaan
ajarlah mereka supaya bekerja dengan ikhlas kerana Allah s.w.t pada setiap perkataan, perbuatan dan semua urusan supaya mereka mengharapkan reda Allah dan setiap pekerjaan dimulakan dengan niat kerana Allah, maka terserlahlah ketika itu ubudiah atau perhambaan diri kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t :al-Bayyinah :5
5. pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan Yang demikian itulah ugama Yang benar.

Begitu juga perlu disampaikan kepada anak-anak bahawa Allah tidak akan menerima setiap pekerjaan yang dilakukan bukan keranaNya dan bukan kerana mencari redaNya.

Sabda nabi s.a.w;
“ Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan menerima pekerjaan kecuali yang dilakukan ikhlas dan mencari reda Allah s.w.t”. (riwayat Bukhari dan Muslim)

2) Cara berfikir
Ajarlah anak-anak cara berfikir yang boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, yang boleh memberi manfaat kepada diri, masyarakat dan juga negara. Wajib mengajarkan kepada anak-anak supaya mengikut apa yang dibawa dan diajar oleh nabi s.a.w. Begitu juga perlu diajar kepada anak-anak supaya muhasabah diri sehingga mereka menghindarkan diri melakukan kejahatan walaupun hanya lintasan hati dan fikiran.

3) Dalam perasaan
Ajarkan anak-anak supaya berperasaan baik dan bersih, tidak boleh hasad dengki, menghina orang lain, membuat fitnah dan mengikut nafsu syahwat yang buruk. Setiap kali nafsu jahat menguasai diri ingatlah bahawa Allah bersamanya melihat dan mendengar. Inilah apa yang diajarkan oleh nabi s.a.w apabila menjawab soalan dari Jibril a.s mengenai Ihsan.

Sabda nabi s.a.w;
“ Ihsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat Allah, jika kamu tak melihat Allah sekalipun sesungguhnya Allah melihat kamu.

Firman Allah s.w.t :al-A’raaf :200-201
200. dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

201. Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka Dengan itu mereka nampak (jalan Yang benar).

Imam al-Ghazali menceritakan satu kisah dalam kitabnya (Ihya’ ulumuddin)

“ Sahal Bin Abdullah at-Tastari berkata; “Ketika aku berumur tiga tahun, aku bangun pada waktu malam, aku dapati bapa saudaraku sedang solat sunat. Suatu hari dia berkata kepadaku; “ Tidakkah engkau ingat kepada Allah yang telah menciptamu? Aku bertanya kepadanya, bagaimana cara untuk ingat kepada Allah s.w.t.?katanya; “ katakan dengan hatimu setiap kali kamu ingin tidur tiga kali dengan tidak menggerakkan lidahmu : Allah bersamaku, Allah melihatku, Allah menyaksikanku. Aku melakukannya beberapa malam dan memaklumkan kepada bapa saudaraku. Kemudian dia menyuruhku mengatakan perkataan yang sama sebanyak tujuh kali, kemudian sebelas kali, aku melakukannya selama setahun kemudian dia berkata padaku teruskan sehingga kamu masuk ke lubang kubur.Setelah beberapa tahun bapa saudaraku bertanya kepadaku; “wahai Sahal jika seseorang yakin Allah bersamanya, melihatnya dan menyaksikannya adakah dia akan melakukan maksiat kepada Allah? Ingatlah jauhilah maksiat.

Akhirnya Sahal menjadi salah seorang ulama besar dalam kalangan para solehin hasil didikan bapa saudaranya yang telah menanam ke dalam jiwanya rasa takut kepada Allah s.w.t sejak dari kecil.

Tamat Pendidikan Iman, akan datang Pendidikan Akhlak......InsyaAllah.

Saturday, February 14, 2009

Hukum main catur

Soalan:

Assalammualaikum ustaz... saya ingin meminta penjelasan berkenaan riwayat dari kitab MUKASHAFAH AL QULUB KARANGAN IMAMAL-GHAZALI..
saidina ali pernah lalu pada sekelompok orang yang sedang bermain catur. kemudianbeliau berkata \"permainan apa ini yang sangat mengasyikkan? jika salah seorang diantara kamu berjalan di atas bara api, adalah lebih baik dari memeinkannya.\" kemudian beliau berkata, \" demi allah kamu diciptakan bukan untuk ini.\" juga beliau mengatakan \"permainan catur adalah manusia paling banyak dusta.salah seorang mengatakan AKU MATI padahal tidak mati. atau DIA MATI padahal tidak mati\" abu musa asyaari mengatakan,\" tidak akan bermain catur kecuali orang yang salah.\"

nak minta pendapat tentang kedudukan sebenar catur. kalau boleh dengan rujukan kitab HALAL DAN HARAM- DR YUSUF AL-QARADHAWI..

Amir

Jawapan:

Para ulama sudah membicarakan hukum main catur. Dan sebagaimana biasa pendapat mereka tidak sama. Secara ringkasnya kita sebutkan beberapa pendapat mereka.

Pendapat Pertama : Mereka yang mengharamkan main catur.

Mereka adalah jumhur ulama dari kalangan Al-Hanafiyah, Al-Hanabilah dan sebahagian riwayat pendapat Imam Malik ra. Ulama Al-Hanafiyah menetapkan bahwa permainan catur itu hukumnya makruh baik main dadu atau catur. Sedangkan bila permainan itu bercampur dengan unsur judi, atau dilakukan secara rutin atau bahkan sampai meninggalkan pekerjaan yang wajib, maka hukumnya menjadi haram secara ijma`.

Sedangkan Al-Malikiyah mengatakan bahwa permainan tersebut tidak ada kebaikan di dalamnya, hingga sampai pada titik dimana orang yang bermain catur tidak boleh diterima kesaksiannya. Al-Hanabilah mengatakan bahwa permainan catur itu hukumnya haram secara mutlak.

Pendapat Kedua : Mereka yang mengatakan makruh

Pendapat ini didokong oleh para ulama Asy-Syafi`iyyah dan para pengikutnya. Hanya Imam Al-Ghazali mengatakan bahwa hal-hal tersebut menjadi makruh bila dilakukan secara rutin.

Pendapat Ketiga : Mereka yang mengatakan harus.

Ini adalah pendapat para tabiin besar seperti riwayat daripada Abi Yusuf dari Al-Hanafiyah dan mereka memberikan alasan jika permainan itu dimaksudkan untuk melatih otak.

Al-Hafiz Ibnul-Bar berkata bahwa pendapat jumhur fuqoha tentang catur adalah bahwa orang yang memainkannya tanpa ada unsur judi dan dilakukan secara tertutup bersama keluarga sekali dalam sebulan atau setahun dan juga tidak diketahui oleh orang lain maka hukumnya dimaafkan dan tidak haram atau tidak makruh. Tapi jika dia melakukannya secara terang-terangan maka maruah dan keadilannya jatuh sehinggga mengakibatkan kesaksiannya tidak diterima. (Lihat At-Tamhid : 13/183 dan Al-Qurtubi : 8/338.

Diantara orang yang memberikan rukhshah untuk bermain catur selama tidak ada unsur judi adalah : Said bin Musayyab, Said bin Jubair, Muhammad bin Sirin, Urwah bin Zubair, As-Sya`bi, Al-Hasan Al-Bashri, Ali bin Hasan bin Ali bin Abi Thalib, Ibnu Syihab, Rabi`ah dan Atho` (Lihat At-Tamhid : 13/181).

Pendapat ini juga disepakati oleh Dr. Yusuf Al-Qordhawi dalam kitab Halal dan Haram seperti berikut;

Di antara permainan yang sudah terkenal ialah catur.
Para ahli feqh berbeza pendapat tentang hukumnya, antara harus, makruh dan haram.
Mereka yang mengharamkan beralasan dengan beberapa hadis Nabi s.a.w. Namun para pengkritik dan penyelidiknya menolak dan membatalkannya. Mereka menegaskan, bahwa permainan catur hanya mulai tumbuh di zaman sahabat. Oleh karena itu setiap hadis yang menerangkan tentang catur di zaman Nabi adalah hadis-hadis batil (dhaif).

Para sahabat sendiri berbeza dalam memandang masalah catur ini. Ibnu Umar menganggapnya sama dengan dadu. Sedang Ali memandangnya sama dengan judi. (Mungkin yang dimaksud, iaitu apabila diiringi dengan judi). Sementara ada juga yang berpendapat makruh.

Dan di antara sahabat dan tabi'in ada juga yang menganggapnya harus. Di antara mereka itu ialah: Ibnu Abbas, Abu Hurairah, Ibnu Sirin, Hisyam bin 'Urwah, Said bin Musayyib dan Said bin Jubair.

Inilah pendapat orang-orang kenamaan dan begitu jugalah pendapat saya. Sebab menurut hukum asal, sebagaimana telah kita ketahui, adalah harus. Sedang dalam hal ini tidak ada satu nas tegas yang menerangkan tentang haramnya. Dan pada catur itu sendiri melebihi permainan dan hiburan biasa. Di dalamnya terdapat semacam senaman otak dan mendidik berfikir. Oleh karena itu tidak dapat disamakan dengan dadu. Dan jesteru itu pula mereka mengatakan: yang menjadi ciri daripada dadu ialah keuntungan(spekulasi), jadi sama dengan azlam (tenung nasib). Sedangkan yang menjadi cirri-ciri dalam permainan catur ialah kecerdasan dan latihan, jadi sama dengan lumba dan memanah.

Namun tentang keharusannya ini, ia ada tiga syarat:

1. Tidak boleh menyebabkan tertundanya solat

2. Tidak boleh bercampur dengan unsur judi

3. Boleh menjaga lisannya ketika sedang bermain untuk tidak bercakap kotor atau membicarakan hal orang lain dan yang sejenisnya.

Kalau ketiga syarat ini tidak dapat dipenuhinya, maka dapat dihukumi haram.
(halal haram dalam Islam : Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi)

Sebagai kesimpulannya, jika kita melihat kepada syarat yang diletakkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, iaitu tidak boleh menyebabkan tertundanya solat , tidak terlibat dengan judi dan boleh menjaga lidah ketika bermain catur, siapakah yang boleh menjaga semua ini? Sudah pasti orang-orang yang beriman dengan Allah s.w.t dan orang yang kuat pegangan agamanya sahaja yang boleh melakukannya. Jika yang bermain catur ini adalah orang-orang yang kuat imannya maka mereka perlu menilai semula, apa faedah catur kepada mereka? Adakah dengan bermain catur ini boleh meningkatkan iman kepada Allah s.w.t atau hanya permainan yang membuang masa sahaja. Tidakkah orang-orang yang beriman ini pernah membaca ayat Allah s.w.t dalam surah al-Asr

“1. Demi Masa!

2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -

3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar”.

Adakah dengan bermain catur termasuk dalam erti kata orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar”.

Jadi pendapat Al-Hafiz Ibnul-Bar yang mengatakan bahwa pendapat jumhur fuqoha tentang catur adalah bahwa orang yang memainkannya tanpa ada unsur judi dan dilakukan secara tertutup bersama keluarga sekali dalam sebulan atau setahun dan juga tidak diketahui oleh orang lain maka hukumnya dimaafkan dan tidak haram atau tidak makruh, boleh diterima pakai oleh orang-orang yang beriman ini, kerana sebagai seorang yang beriman mereka memerlukan banyak masa untuk melakukan perkara yang lebih berfaedah, seperti meningkatkan ilmu fardu ain dan fardu kifayah, menghadiri majlis ilmu, membaca dan menghafaz al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain. Jika orang-orang yang soleh ini sibuk dengan urusan agama, maka siapakah yang akan bermain catur? Sudah pasti orang-orang yang lalai akan bermain catur, apabila orang yang lalai ini bermain catur, adakah mereka boleh menjaga semua syarat ini? Sudah pasti tidak, apabila tidak boleh menjaga syarat ini maka hukumnya….sudah dimaklumi.

Oleh itu, mengelak daripada bermain catur atau yang seumpama dengannya seperti Dam, Domino dan lain-lain yang tidak ada faedah dari segi kesihatan dan agama adalah lebih utama untuk keluar daripad Khilaf ulama.

Wallahu a’lam.

Wednesday, February 11, 2009

Surah at-Taubah dan Basmalah

Pada setiap awal surah dalam al-Quran ada بسم الله الرحمن الرحيم (Basmalah) tetapi Basmalah tidak ada di awal surah at-Taubah, apa sebab dan hikmahnya?.

Al-mufassiruun menyatakan bahawa sahabat-sahabat r.a, tidak menulis Basmalah di awal surah at-Taubah, begitu juga para Tabiin dan Tabiut Tabiin selepas mereka.

Antara sebabnya ialah;

1) surah at-Taubah dikira sebahagian daripada surah al-Anfaal sebelumnya, kerana perkara pokok perbincangan dalam kedua-dua surah adalah sama. Kedua-duanya membincangkan persoalan jihad, peperangan dan lari daripada medan peperangan seolah-olah kedua-duanya adalah satu surah, maka memadailah Basmalah disebut di awal surah al-Anfaal dan perlu disebut di awal surah at-Taubah.

2) Surah at-Taubah dimulakan dengan ayat berikut: at-Taubah :1-3

"(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik Yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).

oleh itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan, dan ketahuilah Bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa) Allah. dan (ingatlah) Sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang Yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di Akhirat).

dan Inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada hari raya Haji Yang terbesar, Bahawa Sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (Wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka Yang demikian adalah baik bagi kamu; dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah Sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. dan khabarkanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) Dengan azab Yang tidak terperi sakitnya".

Allah s.w.t telah memberi amaran keras kepada kaum musyrikin bahawa Allah dan Rasul memutuskan tanggungjawab atau lepas tangan daripada kaum musyrikin dengan erti kata, tidak akan membantu dan menolong mereka, maka tidak sesuai disebut Basmalah kerana Basmalah membawa erti kasih sayang.

Ibnu Abbas pernah bertanya kepada sayyidina Ali r.a; “kenapa tidak ditulis Basmalah di awal surah at_taubah? Jawab Ali; “kerana Basmalah adalah ‘keamanan’ sedangkan surah ini turun dengan pedang dan pembatalan perjanjian damai, maka tidak ada padanya keamanan.oleh itu tidak sesuai ditulis Basmalah di awalnya.

3) turunnya surah at-Taubah mengarahkan orang-orang Islam memerangi orang-orang kafir dengan pedang selepas semua jalan penyelesaian dan perdamaian dengan mereka gagal. Sebab itu Allah s.w.t berfirman :at-Taubah :5

"kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan Yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Juga firman Allah s.w.t ;at-Taubah:13
"mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum Yang telah mencabuli sumpah janjiNya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga Yang mula-mula memerangi kamu? tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah Yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang Yang beriman?".

Juga firman Allah s.w.t ;at-Taubah:123
"Wahai orang-orang Yang beriman! perangilah orang-orang kafir musyrik Yang berdekatan Dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) Yang ada pada kamu; dan ketahuilah Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya)".

Jelas kepada kita, bahawa arahan berperang dan penggunaan senjata seperti pedang tidak sesuai dengan menyebut rahmat yang ada dalam Basmalah.

4) turunnya surah at-Taubah membatalkan hubungan orang kafir dengan orang Islam, sebagaimana firman Allah:at-Taubah:23

"Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang Yang didampingi jika mereka memilih kufur Dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu Yang menjadikan mereka orang-orang Yang didampingi, maka merekalah orang-orang Yang zalim".

Pembatalan hubungan ini tidak sesuai kalau disebut Basmalah di awal surah.

Waalahu A’lam.

Saturday, February 7, 2009

Pendidikan Iman

Yang dimaksudkan dengan pendidikan iman ialah mengikat keyakinan anak-anak sejak dari kecil dengan usul iman, dan membiasakan mereka memahami rukun Islam dan mengajar mereka asas Syariah Islam.

Maksud Usul iman

Setiap yang thabit(tetap) datang dari jalan yang sah mengenai hakikat iman dan perkara-perkara yang ghaib. Seperti;

Beriman dengan Allah s.w.t

Beriman dengan Malaikat

Beriman dengan kitab samawiyyah

Beriman dengan rasul-rasul

Beriman dengan soalan dua Malaikat dalam kubur

Beriman dengan azab kubur

Beriman dengan hari kebangkitan

Beriman dengan hisab di Mahsyar

Beriman dengan syurga dan neraka


Maksud Rukun Islam

Setiap amalan badan dan harta

Solat

Puasa

Zakat

Haji bagi yang berkemampuan


Maksud Asas Syariat Islam

Setiap yang berkait dengan manhaj Rabbani dan pendidikan Islam daripada Aqidah, Ibadah, Akhlak, Syariat, Sistem Islam dan Hukum-hakam.

Maka wajib ke atas ibu bapa para pendidik mendidik anak-anak sejak kecil tentang kefahaman iman dan asas pendidikan Islam sehingga mereka terikat dengan Islam dari sudut Aqidah dan Ibadah serta menjadi panduan hidup dan mereka tidak akan memilih selain daripada Islam sebagai agama, al-Quran sebagai panduan dan nabi Muhammad s.a.w.sebagai rasul dan ikutan.

Kesemua ini adalah hasil kefahaman pendidikan iman yang bersumberkan daripada wasiat nabi s.a.w dan petunjuknya untuk mengajar anak-anak usul iman, rukun islam dan hukum-hukum syariat.

Antara wasiat dan petunjuk nabi s.a.w;

1) Arahan nabi s.a.w supaya membuka telinga anak yang baru dilahirkan dengan azan dan iqamah.

Dalilnya sabda nabi s.a.w;
“Bukalah atas anak-anak kamu dengan kalimah yang pertama “لا إله إلا الله
(riwayat al-Hakim)

Rahsia arahan
Supaya kalimah tauhid dan syiar masuk Islam menjadi perkara pertama kedengaran pada kanak-kanak yang baru dilahirkan.

Hukum
Digalakkan azan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri anak yang baru dilahirkan.

2) Memperkenalkan kepada anak-anak perkara berkaitan halal dan haram

Berpandukan sabda nabi s.a.w;
“Taatlah kepada Allah dan takutlah melakukan maksiat kepada Allah, suruhlah anak-anak kamu mengikut semua suruhan Allah dan menjauhi segala larangan Allah, itulah cara untuk menyelamatkan kamu dan mereka daripada api neraka Allah s.w.t. (riwayat Ibnu Jarir dan Ibnu munzir)

Rahsia arahan
Supaya anak-anak membiasakan diri sejak kecil melakukan ketaatan dan menjauhi larangan Allah s.w.t.Apabila anak-anak sudah diikat dengan halal dan haram sejak kecil maka mereka tidak lagi akan mencari hukum selain dari Islam.

3) Mengarahkan anak-anak beribadah sewaktu umur tujuh tahun.

Berpandukan sabda nabi s.a.w;
“Suruhlah anak-anak kamu solat sewaktu umur mereka tujuh tahun, pukullah mereka kalau masih tidak solat sewaktu umur sepuluh tahun dan pisahkan tempat tidur mereka”. (riwayat al-Hakim dan Abu Daud)

Rahsia arahan
Supaya anak-anak belajar hukum hakam ibadah sejak kecil serta membiasakan diri menunaikan kewajipan sehingga mereka terdidik mentaati Allah dan menunaikan hak-hak Allah, bersyukur , menyerah diri , dan yakin kepada Allah s.w.t. dan juga dapat membersihkan jiwa, kesihatan tubuh badan, membentuk akhlak dan memperelok perkataan dan perbuatan mereka.

4) Mendidik anak-anak supaya kasih kepada nabi s.a.w, ahli keluarganya dan membaca al-Quran.

Berpandukan sabda nabi s.a.w;
“Didiklah anak kamu tiga perkara;

i)Kasih kepada nabi kamu

ii)kasih kepada ahli kelurga nabi

iii)Membaca al-Quran, kerana pembaca al-Quran akan berada di bawah arasy Allah di hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah bersama nabi-nabi dan kekasih-kekasihNya.

Termasuklah mengajar anak-anak kisah peperangan nabi s.a.w, perjalanan hidup sahabat-sahabat, peribadi-peribadi mulia tokoh-tokoh dan peperangan-peperangan dalam islam.

Rahsia arahan
Sehingga anak-anak terkesan dengan perjalanan hidup orang-orang dahulu untuk melahirkan semangat jihad dan patriotisme. Sehingga mereka terikat dengan sejarah kegemilangan Islam dan berbangga dengannya dan sehingga mereka terikat dengan al-Quran pada pembacaannya, rohnya dan panduannya.

Bersambung……
Petikan ringkas dari kitab Tarbiah Aulad
Bhg kedua fasal pertama

Monday, February 2, 2009

Bolehkah kita menangkap hantu?

JOHOR BAHRU: ‘Operasi menangkap hantu’ yang dikatakan membolehkan seseorang melihat sendiri makhluk halus, sekali gus mengharungi suasana seram menerima sambutan luar biasa di kalangan penduduk sekitar bandar raya ini.

Mereka yang tidak takut dan teruja berdepan ‘perkara pelik’ itu sanggup bersengkang mata kerana operasi itu biasanya dilakukan pada waktu malam antara senja hingga Subuh yang dikatakan waktu aktif penjelmaan makhluk halus itu.

Hingga kini, operasi diketuai seorang pengamal perubatan tradisional dikenali sebagai Kak Mek didakwa sudah membantu menyelesaikan kira-kira 100 kes kerasukan, membuang saka dan rumah atau premis berpenunggu.

Wartawan Harian Metro yang pergi ke sebuah rumah di Jalan Meranti, Taman Rinting di sini, menyaksikan puluhan penduduk berkumpul di situ untuk melihat sendiri ‘keajaiban’ operasi berkenaan.
Sumber MyMetro

Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai atau ke laut. Bolehkah dipercayai?

Soalan

Banyak kali orang menyebut jin telah ditangkap, makhluk halus telah dipenjarakan, toyol telah dimasukkkan ke dalam botol, dibuang ke laut dan berbagai dakwaan lain seperti itu? Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus seperti itu boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai ke laut. Bolehkah dipercayai? Sila jelaskan.
NAUFAL MOHD AMIN
Jeli

Jawapan
Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang budayanya dicambahi dengan pelbagai kepercayaan dan tahayul. Disebarkan dengan berbagai dakwaan yang kebanyakannya ada yang menyalahi hukum syarak.

Masalah makhluk halus adalah masalah kefahaman kepada istilah itu sendiri.

Al-Qurannul karim merujukkannya sebagai syaitan, iblis, jin, ifrit dan beberapa istilah lain dalam hadis yang semuanya merujuk kepada makhluk halus.

Pernah berlaku seketika di zaman Rasulullah s.a.w, ketika baginda mengimamkan solat di Masjidil Haram, tiba-tiba dalam solat itu, kelihatan oleh para sahabat, Rasulullah sedang mengelak daripada sesuatu dan sedang memegang atau menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak.

Selesai solat sahabat bertanya Rasulullah s.a.w, mengapakah gerak geri Rasulullah dalam solat tidak pernah dilihat sebelum itu.

Rasulullah menjelaskan kepada mereka, "Bahawa ifrit telah datang kepada ku dengan obor api untuk menganggu solat ku, aku mengelak daripada nyalaan obor api itu dari muka ku dan aku telah menangkapnya dengan tangan. Dan ketika itu aku berazam mengikat ifrit ini pada salah satu tiang di Masjidil Haram, biar selepas itu dilihat dan dimain-mainkan oleh anak-anak kita. Tiba-tiba aku teringat doa Nabi Sulaiman, yang meminta kepada Allah SWT bahawa kekuatan yang ada padanya, boleh menawan, mengangkap dan mengurung makhluk halus ini tidak diberi lagi kepada mana-mana orang, maka aku lepaskan ifrit itu setelah aku terasa lidahnya mula mengena ke lengan aku."

Kejadian ini membolehkan kita mengambil kesimpulan bahawa Nabi Muhammad sendiri pun tidak pernah menangkap atau menambat iblis, jauh sekali memasukkannya ke dalam botol, untuk dibuang ke mana-mana.

Yang berlaku ialah, baginda hendak mengelak dia diganggu, baginda adalan seorang Rasul yang dapat melihat sesuatu yang orang ramai tidak dapat melihatnya.

Baginda menangkap hanya kerana ifrit menganggunya, walaupun Muhammad teringin untuk menambat ifrit, namun mengingatkan doa Sulaiman maka ianya tidak berlaku.

Maka pada saya, soalan saudari tadi tiada asasnya untuk dipercayai hukum syarak.

Lagipun makhluk ini diperbuat daripada api (bukan fizikal). Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok.

Contohnya, kita melihat kuasa x-ray yang boleh melintasi badan kita, melihat gambar tulang rusuk, tulang belakang dan melihat apa yang ada dalam otak.

Malah batu batan yang besar seperti Piramid, juga boleh dilihat apa yang ada di dalamnya dengan menggunakan kuasa cahaya x-tray.

Kalau setakat boleh yang diperbuat daripada kaca yang telus cahaya, bermakna makhluk halus boleh masuk dan boleh keluar, bagaimana mungkin sesuatu yang bentuknya bukan fizikal hendak dimasukkan dalam sesuatu yang bentuknya fizikal?

Botol adalah benda fizikal sedangkan makhluk halus bukan fizikal. Makhluk halus adalah api, dari unsur cahaya, kederasannya adalah sama seperti kederasan cahaya.

Tidak perlu dimasukkan ke dalam botol. Dia boleh masuk dan dia boleh keluar bila-bila masa.

Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad boleh menangkapnya kepada mereka Rasul. Tetapi tidak sabit pada amalan sahabat atau tabiin bahawa mereka boleh menangkap makhluk halus untuk dimasukkan ke dalam botol.

Apa yang ada hanyalah ikhtiar manusia untuk mengelakkan gangguan makhluk halus dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang ditunjukkan oleh Rasullah s.a.w.

Tujuan kita ialah memohon Allah menjauhkan makhluk halus daripada kita.

Di antaranya yang Nabi sebut dalam Surah al-Baqarah, ayat Kursi dan sebagainya.

Dengan bacaan ayat-ayat al-Quran, insya Allah dengan kehendak Allah, maka makhluk halus akan menjauhkan dirinya atau mengeluarkan dirinya dari badan manusia. Wallahu a'lam.

Sumber Darussyifa