Blog ini berdasarkan kuliah maghrib, ceramah, kuliah subuh dan khutbah jumaat yang saya sampaikan di masjid-masjid dan surau-surau di sekitar bandaraya Kuching, di samping sedikit kemusykilan agama dan kehidupan harian.

Mudah-mudahan sedikit sumbangan ilmu yang tidak seberapa ini dapat membantu perjalanan dakwah islam tercinta.

Friday, March 20, 2009

Pembersihan Jiwa

الحمد لله الذى هدنا لهذا وما كنا لنهتديا لو لا أن هدنا الله. أشهد أن لآ

إله إلا الله وحده لا شريك له. وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله المبعوث رحمة للعالمين. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى اله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان الى يوم الدين

أَمَّا بَعدُ: فَيَا عِبَادَ اللهِ! اتَّقُوا اللهَ، وأوصيكم وإياي بتقوى الله، فقد فازالمتقون.


Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah kita semua bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah s.w.t; surah ali-Imran:102

Maksudnya:
“ Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam”.

Firman Allah s.w.t : as-Syams :7-10

7. Demi jiwa manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya);

8. serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa; -

9. Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan jiwanya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

10. dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan jiwanya - Yang sedia bersih - itu kotor dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Muslimin siding Jumaat yang dirahmati Allah

Allah s.w.t mencipta manusia dan melengkapkannya dengan jiwa. Jiwa manusia diberi ilham oleh Allah s.w.t untuk memilih jalan kotor dan taqwa. Maka berbahagialah manusia yang membersihkan jiwanya dengan amal soleh dan amat rugi manusia yang mengotorkan jiwanya dengan maksiat. Untuk menjadi manusia yang beruntung di dunia dan akhirat marilah sama-sama kita membersihkan jiwa dari segala kekotoran dan maksiat kepada Allah s.wt.

Membersihkan jiwa menurut al-Quran terbahagi kepada dua;

Pertama : Tercela
Kedua : Terpuji

Pembersihan jiwa yang tercela ialah dengan memujinya dan menyanjungnya, inilah ditegah oleh Allah s.w.t sebagaimana firman Allah s.w.t : an-Najm ;32

“maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang bertaqwa”.

Adapun pembersihan jiwa yang terpuji ialah yang akan menjadi tajuk perbincangan pada hari ini.

Pembersihan jiwa ertinya membersihkan jiwa dan membangunkannya, kita membersihkan jiwa dari segala perbuatan syirik dan nifak dan membangunkannya dengan tauhid, iman dan ikhlas. Kita mengambil jalan “Takhalli” (mengosongkan) dan “Tahaalli” (menghiaskan) mengosongkan segala kejahatan dan menghias dengan segala kebaikan. Inilah pembersihan jiwa yang dituntut yang akan memberi keuntungan dan kejayaan dunia dan akhirat kepada individu, masyarakat dan ummah.

Muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Bagaimana kita membersihkan jiwa kita?

Jauhi Kelalaian jiwa
Perkara paling utama untuk membersihkan jiwa ialah mengeluarkannya dari penjara kelalaian, kerana perkara paling bahaya yang menimba manusia ialah sifat lalai. Manusia hidup dalam keadaan lalai dari peranannya yang sebenar dalam kehidupan, lalai dari tanggungjawab sebagai muslim dan bebanan syara’, lalai dari mengingati tuhannya dan zikir kepadanya, lalai dari mengingati akhiratnya, ini adalah musibah yang sangat besar yang minimpa manusia, mereka hidup di dunia dan merasakan seolah-olah akan kekal selamanya tanpa menyedari mereka kembali kepada Allah satu hari nanti dan akan dihisab setiap patah perkataannya, setiap inci perbuatannya baik atau buruk, setiap langkahnya di darat, laut dan udara semuanya akan disoal oleh Allah s.w.t tetapi manusia lalai dan lupa dengan semua ini. Mereka asyik duduk dan berbincang soal dunia, harta, anak-anak, isteri, kenderaan, tanah, ladang, saham untung dan rugi tetapi lalai dan lupa dengan kematian dan akhirat yang akan menjemput mereka bila-bila masa.

Manusia menghafaz lirik-lirik lagu dan muzik, remaja-remaja menghafaz nama-nama artis pelakon, penyanyi, pemain bola sepak dan sebagainya samada yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia tetapi apabila ditanya nama nabi-nabi, malaikat, sahabat-sahabat,para tabi’in, mufti-mufti dan orang-orang soleh mereka tidak kenal seorang pun daripada mereka. Lalai ialah penyakit yang paling bahaya wahai muslimin sekalian.kita perlu keluar dari kelalaian ini, Allah s,w.t telah menyifatkan ahli Neraka Jahannam dan bahan bakarnya sebagaimana;

Firman Allah s.w.t : al-A;raaf :179
(ولقد ذرأنا لجهنم كثيراً من الجن والإنس، لهم قلوب لا يفقهون بها، ولهم أعين لا يبصرون بها، ولهم آذان لا يسمعون بها)

Maksudnya;
"dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai".

Allah s.w.t mengurniakan pancaindera yang terdiri daripada hati, mata dan telinga tapi manusia tidak menggunakannya bahkan merosakkannya. Apa guna ada hati kalau tidak mengambil iktibar? Apa guna ada mata kalau tidak melihat tanda-tanda kekuasaan Allah? Apa guna ada telinga jika tidak digunakan untuk mendengar kebaikan?

Kata seorang penyair;

إن من الرجال بهيمة فـي صورة الرجل السميع المبصر

فطن لكل مصيبة في ماله وإذا أصيب بدينه لم يشعــر
Maksudnya

Sesunggiuhnya ada di kalangan manusia, binatang
Pada bentuk manusia yang mendengar dan melihat
Sedar kalau musibah menimpa hartanya
Tapi bila musibah menimpa agamanya dia tidak sedar

Apabila kerugian menimpanya samada harta dan perniagaanya dia sedar dan sangat bersedih tetapi jika musibah menimpa agamanya seperti meninggalkan solat dan maksiat yang dilakukan dia tidak sedar dan tidak bersedih dan tidak pernah menyesal, inilah binatang dalam bentuk manusia.

Ingatlah bukanlah kejayaan itu kerana dapat mengumpul wang berjuta
Bukanlah kejayaan itu kerana dapat membina banglo dan istana kukuh
Bukanlah kejayaan itu kerana mendapat pangkat yang tertinggi
Kejayaan yang sebenar ialah selamat dari Neraka dan dapat Masuk Syurga

Manusia yang tidak berfungsi sebagai manusia adalah lebih buruk dan hina daripada binatang ternakan. Kenapa? Kerana binatang tidak berakal untuk berfikir, tidak diutuskan kepada mereka Nabi dan Rasul dan tidak diturunkan kitab al-Quran kepada mereka bahkan binatang menunaikan tanggungjawab sebagai binatang, unta contohnya menunaikan tanggungjawab sebagai pembawa barang-barang di atas belakangnya dan berkhidmat untuk manusia. Adakah kita pernah melihat lembu lari apabila diperah susunya, adakah kita pernah melihat kuda lari apabila hendak ditunggang.

Ingat mati jalan utama keluar dari kelalaian

Jalan utama keluar dari kelalaian ialah banyak mengingat mati.kematian adalah hakikat dan kepastian, tidak ada makhluk yang dapat melarikan diri dari kematian. Ia sentiasa berada di hadapan kita setiap masa dan ketika. Ingatlah kematian, ingatlah pemusnah segala kelazatan ini, kematian akan memusnahkan segala kelazatan dunia, akan memisahkan antara anak dan bapanya, antara suami isteri, antara saudara mara, antara kasih dan kekasihnya , ingatlah kematian. Ingatlah sesungguhnya selama mana kita hidup, selama mana kita mengumpulkan harta, selama mana kita membina mahligai yang indah, selama mana kita mempunyai pangkat yang tertinggi akan berakhir dengan kematian, akan berakhir dengan kata-kata manusia kepada kita fulan sudah meninggal dunia dan kita akan dapat pangkat yang terakhir “Allah yarham”. Atau “ alMarhum.

Muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Ingatlah apabila kita hidup di waktu pagi belum pasti adanya petang untuk kita, apabila kita hidup di waktu petang belum pasti ada malam untuk kita begitulah seterusnya, sesungguhnya mati datang secara mengejut, pernahkah kita mendengar manusia yang tidur dan tidak bangun lagi dari tidurnya, tidakkah kita pernah mendengar orang-orang muda yang mati sebelum umur tua kerana kemalangan, sesungguhnya kemalangan terlalu banyak hari ini, kadang kala manusia takut untuk menaiki kenderaan dan sanggup berjalan di tepi jalan tetapi tiba-tiba dilanggar juga oleh kereta dan mati.

Firman Allah s.w.t : al-Jumuah :8
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".

Muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Amal soleh penyelamat manusia
Sucikan jiwa dengan amal soleh dan jauhkan jiwa dari melakukan maksiat kepada Allah s.w.t, inilah sahaja yang dapat menyelamatkan kita, sesungguhnya kematian pasti datang tidak ada keraguan lagi, ingatlah kematian wahai saudaraku, ia pasti membawa kita keluar dari kelalain. Mudah-mudahan Allah s.w.t akan memberi peringatan kepada kita dari segala apa yang kita lalai dan lupa, memberi manfaat kepada kita bila kita mengingatiNya, memberi kekuatan kepada kita apabila kita lemah,memberi penglihatan kepada kita apabila kita buta dan memberi kesedaran kepada kita apabila kita lupa.

Firman Allah s.w.t : Qaaf : 22
"Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada Dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami hapuskan kelalaian Yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan Dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".

أقول قولي هذا وأستغفر الله تعالى لي ولكم فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم وادعوه يستجب لكم.

Khutbah kedua tidak disediakan
semoga boleh dijadikan panduan khutbah
20 Mac 2009
Rujukan utama Khutbah al-Qaradhawi

1 comment:

  1. Salam...terkesan sungguh khutbah ini pada diri saya, moga ianya mendorong terus kepada usaha saya utk tidak tergolong dalam manusia yang lalai...

    Hj Razak -BDC

    ReplyDelete