Blog ini berdasarkan kuliah maghrib, ceramah, kuliah subuh dan khutbah jumaat yang saya sampaikan di masjid-masjid dan surau-surau di sekitar bandaraya Kuching, di samping sedikit kemusykilan agama dan kehidupan harian.

Mudah-mudahan sedikit sumbangan ilmu yang tidak seberapa ini dapat membantu perjalanan dakwah islam tercinta.

Monday, March 16, 2009

Pendidikan Akhlak

Tarbiah Akhlak(Muqaddimah)

Maksud tarbiah akhlak ialah kumpulan asas-asas akhlak dan keistimewaan perangai dan perasaan yang wajib diajarkan oleh ibu bapa kepada anak-anak dan membiasakannya sejak dari kecil sehingga mereka membesar menjadi dewasa dan berpegang teguh dengan akhlak tersebut.

Tidak dinafikan bahawa keistimewaan akhlak, perangai dan perasaan ialah buah atau hasil daripada pendidikan iman yang mantap. Kanak-kanak sejak dari kecil jika dididik beriman kepada Allah, takut kepada Allah, sentiasa merasakan Allah melihatnya (muraqabah) sentiasa berpegang kepada Allah, sentiasa minta pertolongan dari Allah dan sentiasa berserah kepada Allah maka sifat semulajadinya dan perangainya akan mengikut akhlak yang mulia. Kerana kekuatan agama yang sudah berakar umbi dalam dirinya, sifat sentiasa merasakan Allah sentiasa melihatnya sudah sebati dengan dirinya dan sikap muhasabah diri yang menguasai dirinya akan menjadi penghalang antara dia dan maksiat, bahkan dia akan mudah untuk melakukan ibadah dan kebaikan kerana sudah menjadi satu kebiasaan kepadanya.

Jika pendidikan anak-anak jauh dari aqidah islam, tidak ada motivasi agama dan hubungan dengan Allah maka anak-anak akan menjadi rosak dan sesat, bahkan akan mengikut hawa nafsu, hasutan syaitan dan seleranya.

Jika seleranya suka berfoya-foya maka dia akan hidup sebagai manusia yang lalai, hidup seperti mati, ada seperti tiada, hidupnya tidak disanjung dan matinya tidak dirasai kehilangannya.

Jika seleranya seperti haiwan maka dia akan hidup berlandaskan hawa nafsu, tidak ada halal dan haram, tidak ada rasa malu, bertindak tidak berdasarkan akal yang waras dan tidak ada undang-undang dalam hidupnya.

Jika seleranya seperti syaitan maka dia akan sentiasa merancang untuk menipu, memecah belahkan masyarakat, mengajak melakukan maksiat, menimbulkan permusuhan antara sesama manusia.

Oleh itu hanya tarbiah iman sahaja yang boleh memperbetulkan kerosakan dan mengislah manusia tanpanya maka tidak akan ada kebaikan.

Maka bukanlah perkara pelik apabila syariat islam telah memberi perhatian serius terhadap pendidikan iman dan akhlak dan memberi panduan kepada umat islam untuk membentuk peribadi anak-anak dengan akhlak yang mulia.

Antara panduan penting untuk mendidik anak-anak dari sudut akhlak dan perangai.


1) sabda nabi s.a.w;
“ tidak ada hadiah yang lebih istimewa yang diberikan oleh seorang bapa kepada anaknya selain dari adab yang baik”. (riwayat at-Tirmizi)

2) sabda nabi s.a.w;
“muliakan anak-anak kamu dan didiklah mereka dengan adab yang baik”. (riwayat Ibnu Majjah)

3) sabda nabi s.a.w;
“antara hak seorang anak ke atas bapanya ialah memperbaik akhlaknya dan namanya”. (riwayat al-Baihaqi)

Pengajaran daripada hadis-hadis ini ialah wajib ke atas para pendidik lebih-lebih lagi ibu bapa mendidik anak-anak kebaikan dan mengajar mereka asas-asas akhlak yang mulia. Kewajipan ini adalah menyeluruh samada berkaitan dengan jiwa, memperbetulkan kesilapan, meningkatkan daya saing mereka dan bergaul dengan mereka dengan penuh hikmah. Wajib mendidik mereka sejak kecil sifat amanah,benar,istiqamah,mengutamakan orang lain,menghormati orang tua,memuliakan tetamu, membuat baik kepada jiran dan kasih kepada orang lain.

Dalam masa yang sama wajib membersihkan lidah anak-anak dari segala bentuk sifat keji seperti menghina.mencela,memfitnah,lucah dan lain-lain.

Bersambung………..

Petikan ringkas dari kitab Tarbiah Aulad bab pendidikan akhlak.

No comments:

Post a Comment