Blog ini berdasarkan kuliah maghrib, ceramah, kuliah subuh dan khutbah jumaat yang saya sampaikan di masjid-masjid dan surau-surau di sekitar bandaraya Kuching, di samping sedikit kemusykilan agama dan kehidupan harian.

Mudah-mudahan sedikit sumbangan ilmu yang tidak seberapa ini dapat membantu perjalanan dakwah islam tercinta.

Tuesday, December 30, 2008

Fardu Mandi

Fardu mandi ada tiga;
-Niat
-Menghilangkan najis
-Menyampaikan air ke seluruh bulu dan kulit

Huraian;

-Niat mandi adalah wajib seperti wuduk, berpandukan hadis "sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat".
-Tempat niat ialah pada anggota pertama basuhan.
-Kaifiyat niat;
untuk orang berjunub;
"Sahaja aku mengangkat junub atau mengangkat hadas besar",jika berniat mengangkat hadas tanpa menyebut junub atau lainnya sah mandinya, tapi jika berniat mengangkat hadas kecil dengan sengaja tidak sah kerana main-main. Jika tersilap menyebut hadas kecil terangkat anggota wuduk sahaja kecuali kepala atas pandangan yang rajih. Jika berniat mengharuskan solat atau tawaf atau menyentuh al-quran sah, jika berniat apa yang dimustahabkan (digalakkan) seperti mandi sunat jumaat dan lain-lain tidak sah mandinya kerana mandi jumaat adalah sunat. Jika berniat mandi fardu atau wajib atau fardu mandi sah (disebut dalam kitab Raudhah)

Niat perempuan Haid;
" Sahaja aku mengangkat hadas haid" jika berniat junub dengan sengaja tidak sah, jika tersilap menyebut junub sah (disebut dalam Syarah Muhazzab)

Niat perempuan nifas;
" Sahaja aku mengangkat hadas nifas" jika berniat mengangkat hadas haid ada dua pendapat;
tidak sah kata Ibnu Raf'ah dan sah kata al-Isnaie.

Menghilangkan najis pada tubuh adalah wajib jika ada najis. jika membasuh najis dengan niat mengangkat hadas dan menghilangkan najis adakah sah hadasnya? ada khilaf ulamak, pendapat yang rajih imam Rafie adalah tidak sah hadasnya disokong oleh imam Nawawi dalam kitab Syarah Muslim, manakala disebut dalam kitab Raudhah adalah sah. Khilaf ini berlaku kerana adakah air boleh mengangkat hadas dan menyucikan najis serentak.

Menyampaikan air ke seluruh bulu dan kulit.
Wajib meratakan air ke seluruh badan dengan membasuh bulu dan kulit samaada sedikit atau banyak, nipis atau tebal, samaada rambut atau bulu-bulu badan, usul atau hujungnya.

Wajib mengurai sanggul bagi perempuan jika air tidak boleh sampai pada kulit, tapi jika air boleh sampai pada kulit tanpa menguraikannya maka tidak wajib menguraikannya. Berpandukan arahan nabi kepada ummu Salamah yang bertanya kepadanya tentang sanggulnya adakah perlu diurai atau tidak? maka jawab nabi s.a.w; "sekadar kamu mencurah ke atas kepalamu 3 curahan.

Adapun kulit maka wajib dibasuh apa yang zahir, sehingga apa yang zahir pada cuping telinga dan lipatan kulit pada badan, begitu juga wajib basuh bahagian bawah kulit zakar bagi yang belum berkhatan, begitu juga yang zahir pada hidung yang terputus, tidak wajib berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung atas pendapat yang sohih.

Petikan ringkas dari kitab Kifayah al-Akhyar
Bersambung............

No comments:

Post a Comment