Faktor-faktor keruntuhan moral di kalangan remaja dan cara mengatasi
Sambungan….
4. Masa lapang yang tidak dimanfaatkan
Di antar faktor-faktor yang biasanya membawa kepada keruntuhan moral dan akhlak ialah tidak memanfaatkan masa lapang di zaman kanak-kanak dan remaja. Sebagaimana kita maklum bahawa kanak-kanak suka berlari,melompat, memanjat, bermain dan sebagainya. Maka wajib ke atas ibu bapa para pendidik mengatur jadual mereka dengan teratur sehingga waktu lapang dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya lebih-lebih lagi manfaat kepada kekuatan tubuh badan mereka. Jika tidak diatur dengan baik mereka akan terlibat dengan kawan-kawan yang rosak dan boleh mempengaruhi mereka .
Islam sebagai agama yang serba lengkap dengan panduan-panduannya telah menyediakan cara mengatasi masalah kanak-kanak dan remaja untuk menyihatkan tubuh mereka, untuk melahirkan generasi yang kuat dan sihat.
Di antara cara yang terbaik ialah melatih anak-anak supaya beribadah kepada Allah terutamanya solat lima waktu yang menjadi tiang agama, kerana solat mempunyai faedah rohani dan jasmani dan memberi kesan kepada akhlak dan jiwa.
Antara faedah solat terhadap fizikal
-ia merupakan senaman rutin yang menggerakkan anggota-anggota tubuh
-ia merupakan penjagaan kebersihan yang terbaik kerana setiap kali sebelum solat mesti berwudu’ atau mandi, kesemua ini akan membersihkan anggota tubuh seperti rambut,kuku,mulut,gigi dan sebagainya.
-ia merupakan latihan berjalan kaki bagi yang pergi ke surau atau masjid tanpa kenderaan
Sabda nabi s.a.w;
“ arahkan anak-anak kamu solat seawal umur tujuh tahun,dan pukullah mereka untuk mendidik ketika umur mereka sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan (riwayat al-Hakim dan Abu Daud)
Maka menjadi kewajipan ibu bapa para pendidik untuk melatih anak-anak solat dan mengajar cara solat yang betul seperti;
-cara bacaan dalam solat
-bilangan rakaat yang betul
-rukun-rukun solat
-sunat-sunat solat
-adab-adab solat
Samaada di rumah di bawah jagaan ibu bapa atau di sekolah di bawah bimbingan guru-guru mereka.
Cara yang lain ialah menggalakkan mereka belajar seni peperangan(pertahankan diri), menunggang kuda, berenang,lompat dan bergusti.(boleh juga bola sepak dan sukan-sukan moden lain dengan syarat tidak bercanggah dengan syariat)
Antara panduan al-Quran yang menjadi motivasi untuk menyediakan kekuatan
Firman Allah s.w.t : al-Anfaal :60
“dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) Segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka Yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja Yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.
Antara sabda nabi s.a.w ialah;
Sabda nabi s.a.w;
“Ajarlah anak-anak kamu memanah dan berenang serta ajarlah mereka menunggang kuda”.
Sabda nabi s.a.w;
“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disayangi oleh Allah daripada mukmin yang lemah…..(riwayat Muslim)
Insyaallah jika ibu bapa boleh menjadikan ini sebagai panduan kita dapat melahirkan generasi yang sihat, berilmu dan kuat. Dan yang paling penting dapat menghindarkan mereka daripada terlibat dalam bermacam masalah social yang ada.
5. Bergaul dengan kawan-kawan yang buruk perangai dan akhlak
Antara faktor yang membawa keruntuhan akhlak dan moral ialah bergaul dan bercampur dengan kawan-kawan yang rosak, lebih-lebih lagi anak-anak yang lemah aqidah maka mudahlah mereka terikut-terikut dengan perangai kawan-kawan mereka.
Islam dengan kesempurnaannya telah mengarahkan ibu bapa para pendidik supaya memberi perhatian serius dan pemantauan yang sempurna kepada anak-anak lebih-lebih lagi sewaktu mereka masih kanak-kanak dan remaja. Sebagaimana islam mengarahkan ibu bapa supaya mereka memilih kawan untuk anak-anak mereka dan memberi amaran kepada ibu bapa supaya menjauhkan anak-anak mereka daripada kawan-kawan yang rosak.
Antara panduan al-Quran supaya menjauhkan kawan-kawan yang rosak ialah;
Firman Allah s.w.t : al-Furqan :28-30
28. "Wahai celakanya aku, Alangkah baiknya kalau Aku tidak mengambil si Dia itu menjadi sahabat karib!
29. "Sesungguhnya Dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaKu. dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan Dia sahabat karibnya)".
30. dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai".
Firman Allah s.w.t : Qaaf :27
(semasa ia dihumbankan ke Dalam neraka Jahannam, ia mendakwa Bahawa Syaitanlah Yang menjadikan Dia sesat; pada saat itu) Syaitan Yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, Aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya Dia sendiri berada di Dalam kesesatan Yang jauh terpesong".
Antara hadis-hadis nabi s.a.w;
Sabda nabi s.a.w;
“ Cara hidup seseorang itu berpandukan cara hidup kawannya, maka pilihlah kawan kamu”. (riwayat at-Tirmizi)
Sabda nabi s.a.w;
“ Perumpamaan kawan yang baik dan buruk ialah seperti penjual minyak wangi dan pekerja bengkel besi. Penjual minyak wangi samaada akan memberikan kepada kamu minyak wangi atau kamu membeli darinya atau sekurang-kurang kamu dapat wangi bila masuk ke kedainya, manakala pekerja bengkel besi samaada akan membakar pakaian kamu atau sekurang-kurangnya kamu dapat bau busuk darinya”. (riwayat Bukhari dan muslim)
Sabda nabi s.a.w;
“ Jauhkan diri dari berkawan dengan kawan yang buruk, kerana kamu akan dikenali dengan cara melihat dengan siapa kamu berkawan’. (riwayat Ibnu Asakir)
Bersambung………
(petikan ringkas dari kitab Tarbiah Aulad bahagian pertama fasal 4)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment