Sambungan
6. Didikan ibu bapa yang kasar
Ulama' tarbiah hampir sepakat mengatakan bahawa anak-anak apabila dididik secara kasar dan keras oleh ibu bapa dan pendidik, samaada dipukul atau dikeji maka mereka akan sentiasa merasa hina dan rendah diri, tindak balas akan dapat dilihat dari tingkah laku mereka dan rasa takut akan jelas kelihatan dalam tindak tanduk mereka. Kadang kala mereka boleh bertindak diluar kawalan yang mungkin boleh membunuh ibu bapa mereka atau lari meninggalkan rumah. Tidak hairan kita akan melihat ramai penjenayah dalam masyarakat dan gejala sosial yang tidak ada noktahnya.
Islam dengan kesempurnaannya telah mengarahkan ibu bapa para pendidik supaya berakhlak mulia, berlembut dan mendidik dengan penuh kasih sayang sehingga akan lahir anak-anak yang tetap pendirian,berani dan tidak terkongkong.
Antara firman Allah s.w.t ialah;
Firman Allah s.w.t : an-Nahl :90
"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya".
Firman Allah s.w.t : ali-Imran :134
"Iaitu orang-orang Yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang Yang menahan kemarahannya, dan orang-orang Yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang Yang berbuat perkara-perkara Yang baik".
Firman Allah s.w.t : ali-Imran :159
"maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan Yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka Dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya".
Antara sabda nabi s.a.w;
" Sesungguhnya Allah suka kepada kelembutan dalam semua urusan". (riwayat bukhari)
" Jika Allah menghendaki kebaikan dalam sebuah rumah maka Allah akan masukkan dalam rumah itu sifat lembut di kalangan ahlinya. Kerana sifat lembut, apabila ia menjadi satu akhlak, maka tidak ada akhlak yang lebih baik daripadanya dan sesungguhnya sifat keras, apabila ia menjadi satu akhlak, maka tidak ada akhlak yang lebih buruk daripadanya". (riwayat Ahmad dan Baihaqi)
" Orang yang penyayang akan disayangi Rahman (Allah)Sayangilah yang di bumi kamu akan disayangi yang di langit". (riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Kisah Umar al-Khattab dengan seorang bapa.
Seorang bapa mengadu kepada Umar al-Khattab tentang anaknya yang derhaka kepadanya.Maka Umar menjemput anak tersebut mengadapnya dan memberi nasihat kepadanya.Anak tersebut bertanya kepada Umar; Wahai Amirul mukminin! Tidakkah seorang anak itu ada hak-hak ke atas bapanya?Jawab Umar; Ya, ada". Anak itu bertanya lagi; Apakah hak-hak itu? wahai Amirul mukminin! Jawab Umar, "seorang bapa perlu memilih bakal ibu yang baik untuk anaknya, memilih nama yang baik untuk anaknya dan mengajar anaknya al-Quran". Anak itu berkata; wahai Amirul mukminin! bapaku tidak menunaikan satu pun dari hak-hak itu". Ibuku seorang Zanji (kulit hitam) hamba kepada seorang majusi, namaku Khunfusa'(lipas)dan bapaku tidak pernah mengajarku walau satu huruf daripada al-Quran". Maka Umar menoleh kepada bapa tersebut dan berkata; "Kamu datang mengadu kepadaku tentang anakmu yang derhaka, tapi rupa-rupanya kamu terlebih dahulu derhaka kepadanya dan menyakitinya sebelum dia menyakiti kamu".
7. Menonton filem jenayah dan seks
Di antara faktor-faktor keruntuhan akhlak yang sangat banyak menyumbang kepada jenayah dan pelanggaran undang-undang ialah pengaruh filem yang boleh ditonton di panggung wayang atau TV yang berkisar mengenai kisah kepolisian atau jenayah dan filem-filem lucah, begitu juga penjualan majalah-majalah yang memaparkan wanita separuh bogel dan kisah-kisah di ranjang.yang begitu berleluasa di pasaran. Secara amnya ia boleh menaikkan nafsu syahwat yang menyumbang kepada jenayah, kalau ia boleh merosakkan golongan dewasa, inikan pula golongan remaja.
Islam telah meletakkan di hadapan ibu bapa para pendidik panduan untuk mendidik anak-anak dan menunaikan tanggung jawap sebagai pendidik.
- antara asas panduan itu ialah;
1) Pemeliharaan yang sempurna ahli keluarga daripada apa-apa yang boleh mengundang kemurkaan Allah s.w.t dan api neraka Jahannam.
Firman Allah s.w.t : at-Tahrim :6
"Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan".
2) Merasa bertanggungjawab menunaikan amanah
Sabda nabi s.a.w;
" Seorang lelaki sebagai pemelihara ahli keluaganya dan akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipeliharanya". (riwayat Bukhari dan Muslim)
3) Menyekat segala kemudaratan yang boleh merosakkan aqidah dan akhlak
Sabda nabi s.a.w;
" Tidak ada yang mudarat dan memudaratkan".
Oleh itu,wajib ke atas ibu bapa para pendidik mencegah anak-anak menonton filem-filem jenayah, lucah dan sebagainya, begitu juga wajib mencegah mereka dari membeli majalah-majalah yang tidak sepatutnya dijadikan bahan bacaan untuk anak-anak.
Insyaallah dalam perbincangan "pendidikan Iman" nanti akan dibincangkan secara terperinci persoalan ini.
Bersambung………
(petikan ringkas dari kitab Tarbiah Aulad bahagian pertama fasal 4)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment