Sambungan....
8. Banyaknya Penganguran
Banyaknya penganguran dalam Negara juga antara sebab keruntuhan akhlak berlaku.Seorang bapa sebagai ketua keluarga yang tidak ada sebarang pekerjaan dan tidak ada pendapatan untuk menampung perbelanjaan keluarganya, maka keluarga ini akan menghadapi banyak masalah.Anak-anak akan terdedah kepada perlakuan jenayah, mereka akan melakukan apa saja untuk mendapatkan wang walaupun dengan cara yang haram, seperti mencuri,merompak,meragut,rasuah dan sebagainya.
Islam telah menyediakan cara mengatasi masalah penganguran ini samaada penganguran terpaksa atau penganguran malas.
Cara mengatasi penganguran terpaksa;
Tidak ada jalan lain kecuali menyediakan pekerjaan dan memberi motivasi untuk pekerjaan tersebut, ini akan terlaksana dengan dua syarat;
1) Kerajaan wajib memberi jaminan untuk menyediakan pekerjaan
2) Masyarakat wajib membantu pengangur sehingga mereka mendapat pekerjaan
Adapun kewajiban kerajaan membantu pengangur berpandukan hadis riwayat imam Bukhari dari Anas;
“Bahawa ada seorang lelaki daripada golongan Ansar berjumpa nabi s.a.w dan meminta-minta sesuatu dari nabi s.a.w.Maka nabi bertanya kepadanya; Adakah di rumah kamu sesuatu? Jawab lelaki tersebut Ya, ada, kain yang kasar, setengahnya kami pakai dan setengah yang lain kami jadikan hamparan dan juga ada bekas air. Jawab nabi; bawakan kepadaku kedua-duanya. Maka lelaki tadi membawakan kain dan bekas airnya kepada nabi s.a.w. Maka nabi menjual barang-barang tersebut dengan harga dua dirham. Nabi memberikan dua dirham itu kepada lelaki Ansar dan berkata; Satu dirham belikan makanan untuk keluargamu dan satu dirham lagi belikan tali untukku. Maka lelaki tadi bawakan tali kepada nabi lantas nabi mengikat dengan sebatang kayu lalu memberikan kepada lelaki tersebut lalu berkata; pergilah cari kayu api dan jualkannya dan aku tidak mahu lihat kamu selama 15 hari. Lelaki tadi melakukan arahan nabi dan datang semula berjumpa nabi selepas 15 hari dan dia membawa bersamanya 10 dirham hasil jualannya, separuh dia membeli pakaian dan separuh makanan. Maka kata nabi s.a.w kepadanya; inilah lebih baik bagi kamu dari kamu meminta-minta, kerana meminta itu satu titik hitam di wajah di hari qiamat nanti”.
Pengajaran dari hadis ini ialah memberi dan menyediakan pekerjaan adalah lebih baik dari memberi wang atau sedekah. Oleh itu, pihak berwajib berkewajiban menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada pengangur.
Kewajiban masyarakat
Masyarakat wajib menghulurkan bantuan untuk meringankan beban berpandukan sabda nabi s.a.w dalam beberapa hadis
Sabda nabi s.a.w
“Sesiapa yang ada lebihan pakaian maka berikan kepada yang tiada pakaian dan sesiapa yang ada lebihan bekalan makanan maka berikan kepada yang tiada makanan”. (riwayat Muslim)
“Tidak beriman denganku orang yang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan jirannya lapar dan dia mengetahuinya”. (riwayat al-Bazzar dan at-Tobarani)
“Sesiapa yang mati dalam keadaan miskin dalam kawasan orang-orang kaya maka orang-orang kaya tersebut terlepas dari pemeliharaan Allah dan RasulNya”.
Cara mengatasi penganguran malas
Penganguran malas ialah hasil daripada orang-orang yang malas bekerja sedangkan ada pekerjaan atau mereka memilih pekerjaan.
Untuk mengatasi masalah ini ia terpulang kepada kerajaan samaada mempertingkatkan kempen untuk bekerja atau menggunakan undang-undang kepada yang enggan bekerja.
Ibnu Jauzi meriwayat dari Umar al-Khattab, Umar berhadapan dengan kaum yang malas bekerja. Umar bertanya kepada mereka,kenapa kamu tidak bekerja? Mereka menjawab kami bertawakkal kepada Allah, Umar menjawab; kamu menipu, sesungguhnya orang yang bertawakkal ialah orang yang mencampak benih ke bumi kemudian baru bertawakkal kepada Allah untuk menumbuhkannya, janganlah kamu duduk sahaja tanpa mencari rezeki lalu Umar berdoa; Ya Allah ! berilah rezeki kepadaku, sesungguhnya langit tidak menurunkan hujan emas dan perak.
Umar juga menegah orang-orang fakir duduk tanpa bekerja dan mengharapkan ihsan orang lain dengan katanya; wahai orang-orang fakir ! berlumbalah kamu mencari rezeki, janganlah kamu menjadi beban kepada orang mukmin.
Apa yang boleh difahami dari kata-kata Umar ini ialah zakat dalam islam tidak akan diberikan kecuali untuk keperluan yang mendesak dan jaminan untuk mendapatkan pekerjaan sehingga orang yang menerimanya bukan kerana malas dan bukan menjadi sebab untuk tidak bekerja.
Adapun jika yang mengangur itu orang kurang upaya atau orang yang sudah tua dan tak mampu bekerja maka pihak kerajaan hendaklah menjaga hak dan keperluan mereka samaada muslim atau non muslim.
9. Pengabaian pendidikan anak-anak oleh ibu bapa
Ibu bapa adalah pendidik pertama dalam kehidupan seorang manusia. Merekalah yang akan mencorakkan masa depan dan cara hidup anak-anak mereka, sebagaimana mafhum daripada hadis nabi s.a.w bahawa setiap bayi dilahirkan putih bersih, maka ibu bapa mereka yang yang akan menentukan samaada mereka akan menjadi Yahudi,Nasara atau Majusi.
Kita tidak boleh melupakan peranan ibu dalam menunaikan amanah pendidikan anak.
Seorang penyair ada menyebut;
"Ibu merupakan sekolah, apabila kamu menyediakannya,
Kamu telah menyediakan satu generasi yang unggul"
Maksudnya; seorang ibu ibarat sebuah sekolah untuk anak-anak, apabila seorang suami atau bapa telah menyediakan seorang ibu yang terbaik kepada anak-anak mereka, maka anak-anak akan mendapat pendidikan yang terbaik dan akan menjadi manusia yang berguna. Oleh itu di antara kewajiban seorang bapa terhadap anaknya ialah memilih ibu yang baik untuk mereka.
Ibu dalam menunaikan tanggungjawab sama sahaja dengan bapa bahkan lebih penting dan utama, kerana ibu sentiasa mendampingi anak-anak sejak mereka dilahirkan sehingga mereka meningkat dewasa. Nabi s.a.w pernah mengasingkan peranan ibu dalam pendidikan anak-anak dalam sabda baginda;
"Dan ibu sebagai penjaga dalam rumah suaminya dan akan disoal oleh Allah s.w.t tentang anak-anak yang dibawah jagaannya".
Semua ini bertujuan untuk wujud kerjasama antara suami isteri dalam membina generasi berguna. Apabila seorang ibu mengabaikan amanah ini, kerana menyibukkan diri bersama rakan-rakannya, menghabiskan masa dengan rakan-rakannya dan keluar dari rumah berfoya-foya meninggalkan anak-anak dengan pembantu rumah sahaja, begitu juga bapa,apabila mengabaikan amanah ini dengan menghabiskan masa di kedai-kedai kopi, bermain Dam dan Catur bersama kroni-kroninya maka tidak syak lagi anak-anak akan membesar seperti anak yatim piatu yang kematian ibu bapanya dan hidup seperti pelarian dan inilah yang menyumbang kepada kerosakan dan jenayah.
Seorang pujangga berkata;
Bukanlah yatim itu orang yang kematian ibu bapanya,
Dari kehidupannya dan meninggalkannya dalam kehinaan,
Tetapi yatim itu ialah seorang anak yang ada ibu bapa,
Tapi ditinggalkan kerana kesibukan ibu bapanya.
Tidaklah tumbuhan yang tumbuh di taman
Seperti tumbuhan yang tumbuh di padang
Bagaimana kita mengharapkan generasi yang sempurna
Sedang mereka menyusu dari seorang ibu yang kurang
Kepada ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab mereka maka renungkanlah amaran Allah s.w.t
Firman Allah s.w.t : at-Tahrim : 6
"Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan".
Pesan nabi kepada ibu bapa
" Seorang suami adalah pemelihara ahli keluarganya dan akan disoal apa yang dijaganya, seorang isteri adalah pemelihara rumah suaminya dan akan disoal apa yang dijaganya". (riwayat Bukhari dan Muslim)
" Didiklah anak-anak kamu dan perbaiki akhlak mereka". (riwayat Ibnu Majjah)
" Suruhlah anak-anak kamu mengikut suruhan Allah dan menjauhi laranganNya, itulah cara menyelamatkan mereka dari api neraka".
10. Menjadi Yatim
Di antara faktor keruntuhan akhlak juga ialah menjadi yatim atau yatim piatu.Jika tidak ada tangan-tangan yang sudi memelihara mereka dan menjaga kebajikan mereka sudah pasti mereka akan terlibat dengan pelbagai masalah sosial.
Islam telah memberi panduan kepada kaum kerabat anak-anak yatim supaya memberi layanan baik terhadap mereka, menjaga mereka dan mendidik mereka dengan baik.
Antara firman Allah s.w.t
Al-Baqarah ;220
“mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur gaul Dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang Yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang Yang hendak memperbaikinya. dan jika Allah menghendaki tentulah ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul Dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
An-Nisa’ :9
“dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), Yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak Yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (Masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan Yang betul (menepati kebenaran).
Ad-Dhuha : 9
“ oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah Engkau berlaku kasar terhadapnya”.
Al-Maauun :1-2
1. Tahukah Engkau akan orang Yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?
2. orang itu ialah Yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,
Antara sabda nabi s.a.w ialah;
“ Sesiapa yang meletak tangannya ke atas kepala anak yatim dengan penuh kasih sayang, Allah telah menulis baginya kebajikan sebanyak rambut yang dipegangnya”. (riwayat Ahmad dan Ibnu hibban)
“ Sesiapa yang menjaga makan minum anak yatim sehingga Allah memberi kemudahan kepadanya, Allah mewajibkan syurga kepadanya selagi dia tidak melakukan dosa yang tidak diampun oleh Allah”.
(riwayat at-Tirmizi)
“ Saya dan pemelihara anak yatim seperti dua jari ini dalam syurga sambil nabi menunjukkan dua jari telunjuk dan jari hantu. (riwayat at-Tirmizi)
Tamat 10 faktor utama keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan remaja dan cara mengatasinya mengikut Islam akan datang tajuk(Pendidikan Iman)
Petikan daripada kitab Tarbiah Aulad Fil Islam -Abdullah Naseh Ulwan Bahagian pertama Fasal 4
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment