Blog ini berdasarkan kuliah maghrib, ceramah, kuliah subuh dan khutbah jumaat yang saya sampaikan di masjid-masjid dan surau-surau di sekitar bandaraya Kuching, di samping sedikit kemusykilan agama dan kehidupan harian.

Mudah-mudahan sedikit sumbangan ilmu yang tidak seberapa ini dapat membantu perjalanan dakwah islam tercinta.

Thursday, January 8, 2009

Kepentingan Ilmu

الحمد لله الذى هدنا لهذا وما كنا لنهتديا لو لا أن هدنا الله. أشهد أن لآ
إله إلا الله وحده لا شريك له. وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله المبعوث رحمة للعالمين. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى اله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان الى يوم الدين

أَمَّا بَعدُ: فَيَا عِبَادَ اللهِ! اتَّقُوا اللهَ، وأوصيكم وإياي بتقوى الله، فقد فازالمتقون.
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah kita semua bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah s.w.t; surah ali-Imran:102
Maksudnya:
“ Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam”.


Muslimin yang dirahmati Allah
Musim persekolahan bermula lagi, kita datang dengan semangat yang baru dan azam yang baru untuk meneruskan sessi persekolahan 2009.Mudah-mudahan sempena tahun baru Hijrah 1430 dan juga 2009 masihi dapat menyemarakkan lagi semangat kita untuk meningkatkan usaha lebih kuat lagi untuk menimba ilmu pengetahuan amnya dan untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan khasnya.

Muslimin yang dirahmati Allah

Menuntut ilmu adalah satu kefarduan ke atas setiap muslim dan muslimah, sebagaimana sabda nabi s.a.w yang bermaksud: "menuntut ilmu itu satu kefarduan ke atas muslim dan muslimah". (hadis riwayat Muslim)
sebagaimana yang kita maklum bersama bahawa ayat yang pertama yang diturunkan kepada nabi s.a.w adalah berkaitan dengan membaca.
Firman Allah s.w.t;al-Alaq:1-5
1. bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),

2. ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
4. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, -
5. ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.

Ayat ini memberi isyarat betapa pentingnya membaca sebagai jambatan kepada ilmu. Apabila kita mengkaji al-Quran dan hadis kita dapati banyak ayat al-Quran dan Hadis nabi yang memberi penekanan menuntut ilmu dan  mengangkat darjat orang yang berilmu.

Antara ayat-ayat al-Quran yang berbicara tentang ilmu ialah;
firman Allah s.w.t; az-Zumar:9
"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.

firman Allah s.wt.: Toha:114
"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku".

firman Allah s.w.t: al-Mujadalah :11
supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.

Antara hadis-hadis nabi s.a.w
Sabda nabi yang bermaksud;
"Sesiapa yang  menjalani satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mudahkan baginya satu jalan untuk ke syurga". (Riwayat Muslim)

Sabda nabi s.a.w yang bermaksud;
"Kelebihan orang yang berilmu agama ke atas orang yang beribadah tanpa ilmu seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di kalangan kamu." (Riwayat Tirmizi)

Bertolak dari motivasi al-Quran dan hadis nabi s.a.w maka golongan sahabat dan zaman selepas mereka memartabatkan ilmu pengetahuan dan mewajibkan mempelajari ilmu pengetahuan yang memberi manfaat.Mereka mengambil manfaat dari tamaddun lain dan memproses semula supaya menjaga ilmu-ilmu islam yang seiring dengan syariat.Ini berterusan sehingga islam menjaga satu tamaddun yang hebat dan semua tamaddun dunia hari ini semuanya mengambil ilmu dari tamaddun islam.

Muslimin yang dirahmati Allah

Di dalam islam ilmu terbahagi kepada dua;
-Fardu Ain dan
-Fardu kifayah

Fardu Ain ialah ilmu yang berkaitan dengan pembentukan individu muslim pada roh, aqal, fizikal dan akhlah, semua golongan masyarakat terlibat samaada lelaki,perempuan,kanak-kanak,dewasa,pekerja,pegawai dan sebagainya.Oleh itu mempelajari al-Quran, hukum hakam ibadah, asas-asas akhlak, halal dan haram, ilmu penjagaan kesihatan dan semua keperluan orang islam seperti makanan dan minuman yang halal dan barang-barang keperluan lain yang dikeluarkan oleh orang islam, adalah wajib,ini untuk mengelak dari bergantung dengan orang bukan islam.

Manakala ilmu fardu kifayah ialah ilmu yang berkaitan dengan pengurusan sistem, seperti ilmu pertanian,perkilangan,perniagaan,perubatan,kejuruteraan awam,kejuruteraan elektrikal,kejuruteraan mekanikal,kimia,fizik,ilmu pertahanan dan lain-lain. Apabila sebahagian umat telah mempelajarinya dan memenuhi keperluan negara maka gugurlah dosa sebahagian yang lain.

Muslimin yang dirahmati Allah

Harus diingat bahawa kita wajib mempelajari ilmu fardu Ain (Pendidikan Islam) bukan sekadar untuk lulus dalam peperiksaan tetapi untuk mengamalkannya dalam kehidupan. Mempelajari ilmu fardu Ain tidak sama dengan mempelajari ilmu kejuruteraan awam,elektrikal atau mekanikal.Mempelajari ilmu kejuruteraan untuk digunakan atau mungkin tidak digunakan bergantung kepada permintaan ilmu tersebut, tetapi ilmu fardu ain wajib digunakan oleh setiap individu muslim dalam perjalanan hidupnya.

Oleh itu jangan jadikan ilmu fardu ain sebagai satu ilmu tambahan sahaja, tetapi ia merupakan ilmu yang utama.Jika ilmu fardu ain dijadikan ilmu tambahan sahaja maka kita mungkin akan melahirkan seorang jurutera yang rasuah dan pincang, begitu juga profesion yang lain. oleh itu kita terlalu mengharapkan dapat melahirkan seorang jurutera yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t, seorang doktor yang bertakwa,seorang polis yang bertakwa,seorang penguatkuasa yang bertakwa,seorang peguam yang bertakwa,seorang tukang kebun yang bertakwa,seorang pemandu yang bertakwa,seorang posmen yang bertakwa dan lain-lain lagi.

Apabila kita melihat fenomena yang berlaku pada hari ini, keruntuhan akhlak,lelaki menyerupai wanita dengan memakai perhiasan seperti rantai,gelang dan subang, wanita yang berpewatakan lelaki (pengkid), khalwat,zina,buang anak,arak,judi,rempit,blackmetal,dadah(juga rokok)vandalisme dan pelbagai lagi masalah sosial yang tak dapat ditangani.Semua ini berpunca pengabaian kepada pendidikan fardu ain.
sabda nabi s.a.w yang bermaksud
"Seseorang itu tidak akan berzina jika dia ada iman dan seseorang itu tidak akan mencuri jika dia ada iman".
(Riwayat Bukhari dan Muslim dll)

Berpandukan hadis ini dan juga hadis-hadis yang lain,jelas hanya ilmu fardu ain boleh menyelamatkan manusia dari melakukan sebarang bentuk maksiat, bila pengabaian ilmu fardu ain berlaku maka kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah sosial seperti yang kita hadapi hari ini.

Firman Allah s.w.t : al-Qalam:1
"1. Nuun. Demi Pena dan apa Yang mereka tulis,
(Khutbah ini sebagai panduan saya berkhutbah di minggu pertama persekolahan SMT Sejingkat 2009)

No comments:

Post a Comment